Semua Tentang Refluks Asid dan GERD Yang Anda Perlu Tahu

Refluks asid berlaku apabila kandungan dari perut anda naik semula ke esofagus anda. Ianya juga dipanggil sebagai asid regurgitasi atau refluks gastroesophageal. Jika anda mempunyai simptom refluks asid lebih daripada dua kali seminggu, anda mungkin mempunyai keadaan yang dikenali sebagai penyakit refluks gastroesophageal atau GERD. Jika tidak dirawat, ia kadangkala boleh menyebabkan komplikasi yang serius.  

Gejala GERD

Gejala utama GERD ialah refluks asid. Refluks asid boleh menyebabkan rasa kepedihan dan ketidakselesaan di dada anda, kadangkala boleh melarat naik ke leher dan tekak anda. Simptom ini sering dikenali sebagai pedih ulu hati. Jika anda mengalami refluks asid, anda mungkin mengalami rasa masam atau pahit di bahagian belakang mulut anda disebabkan regurgitasi makanan atau cecair dari perut anda naik ke atas.

Beberapa gejala GERD lain termasuk:

  • Loya
  • Sakit dada
  • Kesakitan apabila menelan
  • Kesukaran menelan
  • Batuk kronik
  • Suara garau
  • Nafas berbau

Rawatan GERD

Untuk meredakan simptom GERD, doktor anda mungkin menggalakkan anda membuat perubahan gaya hidup tertentu, seperti:
  • Mengekalkan berat badan yang sederhana sekiranya berat badan berlebihan
  • Berhenti merokok, jika anda seorang perokok
  • Mengelakkan makan besar dan berat pada waktu malam
  • Menunggu beberapa jam selepas makan jika hendak berbaring
  • Meninggikan kepala anda semasa tidur (dengan menaikkan paras bantal 6-8 inci)

Ubat GERD

Doktor anda mungkin mencadangkan mengambil ubat seperti yang disenaraikan di bawah. Semua ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan, jadi sila berbincang dengan doktor pilihan ubat yang terbaik untuk anda.
  • Antacid. Antacid biasanya digunakan untuk refluks asid dan GERD yang bergejala ringan. Tetapi jika anda mendapati bahawa anda terpaksa mengambil antasid hampir setiap hari, anda mungkin memerlukan ubat yang lebih kuat.
  • Penyekat Reseptor H2. Penyekat H2 seperti Pepcid AC berfungsi untuk mengurangkan jumlah asid yang dihasilkan oleh perut anda. Banyak penyekat H2 boleh didapati di farmasi. Dos yang lebih tinggi juga boleh ditetapkan dengan ubat jenis ini.Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa satu jenis penyekat H2 iaitu ranitidine (juga dikenali sebagai Zantac) — telah ditarik balik baru-baru ini oleh FDA kerana mengandungi bahan N-Nitrosodimethylamine (NDMA) yang mengandungi bahan karsinogen.
  • Proton Pump Inhibitors (PPIs). PPI seperti Prilosec juga mengurangkan jumlah asid yang dihasilkan oleh perut anda. Ia lebih cenderung untuk memberi kesan yang lebih baik daripada penyekat H2, malah ia juga boleh membantu menyembuhkan lapisan esofagus yang boleh menjadi rosak apabila sering berlaku refluks asid.Seperti penyekat H2, anda boleh membeli beberapa PPI di farmasi, dan doktor anda juga boleh menetapkan dos yang lebih tinggi kepada anda sekiranya perlu.
 

Diagnosis GERD

Jika doktor anda mengesyaki anda menghidap GERD, mereka akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan bertanya tentang sebarang gejala yang anda sedang alami. Doktor mungkin akan mengesyorkan anda kepada ahli gastroenterologi, atau mungkin menjalankan ujian tertentu sendiri, termasuk:
  • Ambulatory 24-hour pH probe. Satu tiub kecil dihantar melalui hidung ke dalam esofagus. Penderia pH di hujung tiub mengukur berapa banyak pendedahan asid yang diterima oleh esofagus, dan menghantar data ke komputer mudah alih. Seseorang individu akan memakai tiub ini selama kira-kira 24 jam.
  • Esophogram. Selepas meminum larutan barium, pengimejan sinar-X digunakan untuk memeriksa saluran penghadaman anda terutamanya di bahagian atas.
  • Endoskopi. Tiub fleksibel dengan kamera kecil dimasukkan ke dalam esofagus anda untuk memeriksanya dan mengumpul sampel tisu (biopsi) jika perlu.
  • Manometri esofagus. Tiub fleksibel disalurkan melalui hidung ke dalam esofagus anda untuk mengukur kekuatan otot esofagus anda.
  • Pemantauan pH esofagus. Monitor dimasukkan ke dalam esofagus anda untuk mengetahui cara asid dikawal dalam badan anda dalam tempoh beberapa hari.
Setelah selesai diagnosis, doktor akan memutuskan intervensi yang paling sesuai untuk anda, dan jika sama ada pembedahan perlu dilakukan.  

Pembedahan untuk GERD

Dalam kebanyakan kes, perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan sudah cukup untuk mencegah dan melegakan gejala GERD. Tetapi kadangkala untuk kes terpencil, pembedahan adalah diperlukan. Sebagai contoh, doktor anda mungkin mengesyorkan pembedahan jika perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan sahaja tidak menghentikan gejala anda. Mereka juga mungkin mencadangkan pembedahan jika anda mengalami komplikasi GERD yang berlarutan walaupun setelah mengambil ubat-ubatan. Terdapat pelbagai jenis pembedahan yang tersedia untuk merawat GERD, termasuk fundoplication (bahagian atas perut anda dijahit di sekeliling esofagus), dan pembedahan bariatrik (biasanya disyorkan apabila doktor telah membuat kesimpulan bahawa GERD anda mungkin diburukkan lagi akibat berat badan berlebihan).  

GERD vs Pedih Ulu Hati

Adalah penting untuk mengetahui bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara pedih ulu hati yang datang sekali-sekala (yang tidak memerlukan campur tangan perubatan) dan GERD. Kebanyakan orang mengalami pedih ulu hati dari semasa ke semasa, dan secara umum, pedih ulu hati yang sekali-sekala terjadi tidaklah perlu dibimbangkan. Tetapi jika anda telah mengalami pedih ulu hati lebih daripada dua kali seminggu, dan terutamanya jika anda juga pernah mengalami batuk kronik dan sakit dada, anda mungkin sedang mengalami GERD.  

Punca GERD

Walaupun tiada punca tunggal yang mencetuskan penyakit GERD, terdapat mekanisme dalam badan anda yang apabila tidak berfungsi dengan betul boleh meningkatkan kemungkinannya untuk berlaku. Lower esophageal sphincter (LES) ialah jalur otot bulat di hujung esofagus anda. Apabila ia berfungsi dengan betul, ia mengendur dan terbuka apabila anda menelan. Kemudian ia mengetatkan dan menutup semula selepas itu. Refluks asid berlaku apabila LES tidak mengetatkan atau menutup dengan betul. Ini membolehkan jus pencernaan dan kandungan lain dari perut anda naik ke esofagus. Penyebab lain yang mungkin termasuk:
  • Hernia hiatal. Ini adalah apabila bahagian perut bergerak di atas diafragma ke arah kawasan dada. Jika diafragma terjejas, ia boleh meningkatkan kemungkinan LES anda tidak dapat melakukan tugasnya dengan betul.
  • Kerap makan makanan besar. Ini boleh menyebabkan peregangan bahagian atas perut. Peregangan ini kadangkala bermakna tiada tekanan yang mencukupi pada LES, dan ia tidak menutup dengan betul.
  • Berbaring sejurus makan berat. Ini juga boleh menghasilkan tekanan yang kurang daripada yang diperlukan oleh LES untuk berfungsi dengan baik.

Faktor Risiko GERD

Sekali lagi, tiada satu pun punca tunggal yang mencetuskan GERD, namun terdapat pilihan gaya hidup dan faktor kesihatan tertentu yang boleh membuat anda untuk lebih berisiko terkena GERD. Ini termasuklah:
  • Obes
  • Sedang mengandung
  • Connective tissue disorder
  • Merokok
  • Kerap makan makanan berat dengan kuantiti berlebihan
  • Kerap berbaring atau tidur sejurus selepas makan
  • Banyak makan makanan bergoreng atau produk mengandungi tomato
  • Kerap minum minuman seperti soda, kopi atau alkohol
  • Menggunakan banyak ubat anti-radang nonsteroid (NSAIDS), seperti aspirin atau ibuprofen

Makanan Pencetus GERD

Sesetengah orang yang telah didiagnosis dengan GERD mendapati bahawa makanan dan minuman tertentu boleh mencetuskan gejala asid refluks terhadap mereka. Walaupun berbeza mengikut setiap individu, terdapat beberapa makanan yang lebih berisiko untuk mencetuskan gejala GERD. Ianya seperti:
  • Makanan tinggi lemak tepu (seperti makanan bergoreng dan makanan segera)
  • Buah sitrus dan jus
  • Tomato dan sos tomato
  • Bawang besar
  • Pudina
  • Kopi
  • Soda
 

GERD & Komplikasi Lain

Gejala GERD kadangkala boleh diburukkan lagi dengan komplikasi penyakit lain yang mungkin boleh untuk anda alami.

Anxiety dan GERD

Menurut penyelidikan pada tahun 2015, anxiety dan pedih ulu hati adalah sangat berkaitan. Jika GERD teruk, anxiety berpotensi untuk menjadi teruk juga. Jika anda mengesyaki turut mengalami anxiety, pertimbangkan untuk berbincang dengan doktor anda tentang strategi untuk mengatasinya.

Kehamilan dan GERD

Kehamilan boleh meningkatkan peluang anda untuk mengalami refluks asid. Jika anda mempunyai GERD sebelum hamil, gejala mungkin menjadi lebih buruk lagi. Perubahan hormon semasa mengandung boleh menyebabkan otot-otot di esofagus anda lebih kerap berehat. Janin yang sedang membesar juga boleh memberi tekanan pada perut anda. Ini boleh meningkatkan risiko asid perut memasuki esofagus. Banyak ubat yang digunakan untuk merawat refluks asid selamat untuk diambil semasa kehamilan. Tetapi dalam beberapa kes, doktor anda mungkin menasihati anda untuk mengelakkan antasid tertentu atau beberapa rawatan lain.

Asma dan GERD

Asma dan GERD juga sering berlaku bersama-sama. Walaupun lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami hubungan yang tepat antara asma dan GERD, GERD mungkin memburukkan gejala asma. Selain itu, asma dan beberapa ubat asma mungkin meningkatkan risiko anda mengalami GERD. Jika anda menghidap asma dan GERD, penting untuk menguruskan kedua-dua keadaan. Ketahui tentang kaitan antara asma dan GERD, dan cara anda boleh mengurusnya dengan berkesan.

IBS dan GERD

Irritable bowel syndrome (IBS) atau sindrom usus besar adalah keadaan yang boleh menjejaskan usus besar anda. Gejala biasa termasuk:
  • Sakit di bahagian abdomen
  • Kembung perut
  • Sembelit
  • Cirit-birit
Jika anda mempunyai simptom IBS dan GERD, buat temu janji dengan doktor anda. Mereka mungkin boleh mengesyorkan diet, ubat-ubatan atau rawatan tertentu untuk anda.  

Kesimpulan

Jika anda mengalami pedih ulu hati sekali-sekala, anda tidak bersendirian. Merawat simptom pedih ulu hati yang berlaku sekali-sekala ini dengan antiasid dan menukar gaya hidup, seperti menunggu beberapa jam sebelum berbaring selepas makan biasanya boleh memberi kelegaan. Tetapi jika anda mendapati diri anda mengalami pedih ulu hati lebih daripada dua kali seminggu, anda mungkin sedang berhadapan dengan GERD. Jika anda telah didiagnosis dengan GERD, doktor akan membantu anda untuk membuat pelan rawatan yang sesuai. Ubat-ubatan, dan juga pembedahan mungkin diperlukan, bergantung pada kondisi anda.   Sumber rujukan:  

Suka artikel ini? kongsikan manfaatnya

Kongsi di FB
Twitter
Whatsapp
Telegram
Wildan Niaga

Wildan Niaga

Hampir sedekad menyebarkan manfaat dan kebaikan susu kambing. Wildan, jenama pelopor susu kambing Malaysia. Khasiat nutrisi lebih diyakini.

Komentar

Wildan Niaga Sdn Bhd
+60 19-965 3166
customercare@wildan.com.my

No. 32, Jalan 6/2
Kawasan Perindustrian PKNS
43300 Seri Kembangan
Selangor

Wildan Susu Kambing © 2013-2024 

Shopping cart

0
image/svg+xml

No products in the cart.

Continue Shopping